Wanita warga Indonesia termasuk 26 individu ditahan ingkar PKPP
11 daripadanya ada rekod lampau berkaitan jenayah, dadah
JOHOR BAHRU, 12 Muharram 1442H, Isnin – Polis menahan 26 individu termasuk dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bayu 1/2, Taman Nusabayu, Gelang Patah, dekat sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dibuat pada jam 12.30 tengah malam hasil maklumat dari orang awam.
Beliau berkata, semasa diserbu kesemua mereka yang berumur antara 16 dan 34 tahun didapati sedang minum arak dan berhibur, dan apabila diperiksa 11 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Bagaimanapun ujian saringan air kencing yang dijalankan menunjukkan kesemua mereka negatif dadah. Selain itu, pihak premis didapati gagal mengemukakan lesen hiburan dan tidak melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkhairi berkata, 25 warga tempatan yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor dan Seksyen 25(1) Akta Pendaftaran Negara dan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 manakala tangkapan wanita Indonesia disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis juga telah mengeluarkan kompaun ke atas semua mereka kerana kesalahan pelanggaran SOP PKPP. -Bernama