Berita Utama

Dong Zong perlu henti bangkit kemarahan Melayu

Jangan lagi bantah Jawi, terima desakan tutup sekolah vernakular

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Muharram 1442H, Selasa – Pertubuhan radikal Cina, Dong Zong diingatkan untuk tidak lagi membuat perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya juga berharap, pertubuhan berkenaan tidak lagi membantah tulisan Jawi dan mula menerima kehadiran sekolah satu aliran.

Beliau menyifatkan, dua perkara berkenaan sebagai dekat di hati orang Melayu yang mahu melihat rakyat berbilang bangsa di negara ini bersatu padu.

“Tutup sekolah vernakular dan sama-sama pergi ke sekolah kebangsaan demi penyatuan.

“Jangan bantah tulisan Jawi kerana itu budaya orang Melayu. Hentikan membuat provokasi kepada orang Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Haji Aminuddin berharap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain selain ISMA yang boleh membawa isu mengharamkan Dong Zong ke mahkamah.

“Tiada (bawa kes Dong Zong ke mahkamah), sebab kita dah lead banyak isu. Jadi biarlah yang ini orang lain pula,” katanya lagi.

Setakat ini, kerajaan masih belum bertindak meskipun NGO sudah memulakan langkah dengan menggerakkan petisyen bagi menuntut pertubuhan Cina itu diharamkan.

Petisyen yang dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) di change.org berjaya mengumpul 317,104 tandatangan.

Petisyen itu dilancarkan susulan penentangan Dong Zong terhadap usaha kerajaan memperkenalkan tulisan khat Jawi di sekolah vernakular untuk pelajar Tahun 4.

Disebabkan penentangan itu, kerajaan – yang ketika itu di bawah Pakatan Harapan – bertolak ansur dan melonggarkan syarat-syarat pelaksanannya sehingga menjadi pilihan dan setakat tiga muka surat dalam buku teks.

Dong Zong juga antara pertubuhan Cina yang lantang mendesak kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan menolak usaha memperkasa tulisan Jawi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button