Berita UtamaDunia

Hamas, Israel sepakat hentikan keganasan?

Akan umum beberapa projek untuk bantu penduduk di Gaza

GAZA, 13 Muharram 1442H, Selasa – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengumumkan, mencapai kata sepakat dengan negara tidak diiktiraf Israel melalui mediasi Qatar untuk menghentikan tindakan keganasan yang semakin meningkat.

Pejabat pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dalam satu kenyataan semalam berkata, setelah rundingan berlangsung – dimediasi oleh wakil Qatar, Mohammed al-Amadi – persefahaman dicapai untuk mengelakkan peningkatan keganasan sekali gus menstabilkan keadaan.

Hasil daripada persepakatan, Hamas berkata, beberapa projek akan diumumkan untuk rakyat di Semanjung Gaza yang bakal menyumbang kepada mengurangkan kesukaran hidup.

Kenyataan itu tidak memperincikan mana-mana projek tetapi mengatakan keadaan akan kembali kepada sebelum peningkatan keganasan.

Bagaimanapun, tidak ada komen segera dari Israel berhubung perkara berkenaan.

Israel berterusan mengebom Gaza sejak 6 Ogos sebagai tindak balas terhadap alat pembakar udara dan roket – kurang kerap – dilancarkan melintasi sempadan.

Serangan belon api secara meluas dilihat sebagai usaha Hamas untuk memperbaiki syarat-syarat gencatan senjata tidak rasmi yang mana Israel komited untuk meredakan sekatan sebagai balasan untuk ketenangan di sempadan.

Bagaimanapun sehingga kini, tindak balas rejim Zionis adalah untuk memperketatkan sekatan, yang dikatakan pengkritik sebagai hukuman kolektif terhadap dua juta penduduk di kawasan miskin itu.

Mesir juga menyokong pengepungan, menyekat pergerakan masuk dan keluar dari Gaza di sempadannya.

Israel dan Mesir mengenakan sekatan ke atas Gaza setelah Hamas mengambil alih kuasa pada tahun 2007.

Israel mendakwa, sekatan itu diperlukan bagi mencegah Hamas memperluas persenjataannya tetapi pengkritik melihat ia sebagai bentuk hukuman kolektif.

Sekatan itu mendorong ekonomi Gaza ke ambang kehancuran, menyebabkan lebih daripada separuh penduduk menganggur.

Selain itu, perang dan pengasingan selama bertahun-tahun menyebabkan sistem penjagaan kesihatan tidak lengkap untuk menghadapi wabak besar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button