Inswa pusat sehenti promosi warisan, budaya Melaka
Perkenal produk keluaran setempat kepada pelancong dalam, luar
MELAKA, 13 Muharram 1442H, Selasa – Institut Warisan Melaka (Inswa) akan menjadi pusat sehenti bagi membantu mempromosi produk warisan dan budaya seperti barangan kraf dan makanan di Melaka sekali gus membantu usahawan industri berkenaan menjana pendapatan tambahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata inisiatif itu juga bertujuan memperkenalkan produk keluaran setempat kepada pelancong dari dalam dan luar negara serta menggalakkan penggunaan barangan tersebut di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 66 usahawan melibatkan 50 kategori produk telah berdaftar di bawah Inswa seperti songket Melaka, tepak sireh bunga kesidang, keris, dokoh, bakul sia, terompah, anyaman bakul, serta makanan tradisional seperti kuih bakar, dodol dan inang-inang.
“Usaha ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara Inswa, Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka dan usahawan terlibat kerana kita melihat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang etnik seperti Melayu, Baba Nyonya dan Chetti yang sudah semestinya mempunyai pelbagai produk kraf dan makanan tersendiri yang boleh dikomersialkan.
“Justeru mana-mana etnik yang mempunyai produk berasaskan warisan dan budaya dipelawa berjumpa dengan Inswa untuk membantu mereka mempromosikan produk tersebut sekali gus memastikan warisan dan budaya Melaka dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya pada sidang akhbar bersempena Pengenalan Produk Warisan Inswa di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhammad Jailani berkata produk keluaran usahawan kraf juga akan dinilai semula bagi memastikan ia boleh dijual pada harga mampu milik dan membolehkan masyarakat membelinya.
Beliau berkata mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi pengedar produk berasaskan warisan dan budaya boleh mengadakan perbincangan dengan Inswa.
Katanya Inswa juga bercadang menubuhkan sebuah anak syarikat bagi mengeksport produk tersebut ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan Melaka turut merancang melakukan pertukaran produk dan perkhidmatan pelancongan dengan kerajaaan negeri lain sebagai usaha memulihkan sektor pelancongan domestik yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
“Kita akan ke Sabah pada 17 hingga 19 Sept ini bersama produk pelancongan negeri yang berpotensi untuk diketengahkan dan kita akan melihat sambutan menerusi langkah pertama ini sebelum ke negeri lain,” katanya. – Bernama