Jangan cuba jadikan masalah kebun haram isu kaum
Isu pokok di sini adalah pengusaha berniaga secara haram
BANGI, 13 Muharram 1442H, Selasa – Masalah kebun durian haram di Raub, Pahang dikhuatiri menjadi isu perkauman yang besar sekiranya tidak dipantau pihak berkuasa.
Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang memulakan tindakan tegas ke atas pekebun durian di Raub yang mengusahakan tanaman secara haram di kawasan tanah bukan milik mereka.
Tindakan dilakukan selepas kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.
Antara kawasan dusun durian yang terlibat adalah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.
Mengulas perkara itu, Pengasas Gabungan Peguam Malaysia (MLC), Lukman Sheriff Alias berkata, beliau difahamkan media vernakular memainkan isu berkenaan sebagai sentimen besar sedangkan ia isu persendirian dan melibatkan urusan negeri.
Katanya, satu pihak adalah pengusaha kebun durian yang telah melakukan perniagaan secara haram, sementara satu lagi melibatkan syarikat berkait dengan pihak istana.
“… Selain dari isu utama pengusahaan perniagaan secara haram, perbalahan pokok lain adalah berkenaan terma komersial levi dan penjualan balik.
“Terdapat juga soalan kenapa hak milik diberi kepada RPDP (Royal Pahang Durian Produce). Cuma kita kena sedia maklum pemberian tanah adalah budi bicara negeri di bawah undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Enggan mengulas lanjut mengenai terma komersial, beliau berkata, setakat ini tidak kelihatan kelibat parti politik dalam perniagaan itu.
“Wallahualam. Cuma setakat ini DAP gayanya menjadi juara isu ini.
“Saya harap isu ini tidak sepatutnya menjadi isu perkauman. Tiada ‘siege mindset’ patut berlaku sebab syarikat itu sendiri majoritinya bukan Melayu dan muslim,” katanya.