Jangkitan COVID-19 di Myanmar meningkat kepada 882 kes
Dengan 95 lagi kes disahkan dilaporkan pada Isnin malam

YANGON, 13 Muharram 1442H, Selasa – Jumlah jangkitan COVID-19 di Myanmar meningkat kepada 882 dengan 95 lagi kes disahkan dilaporkan pada Isnin malam, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan Kementerian Kesihatan dan Sukan.
Pada Isnin sahaja Myanmar melaporkan 107 kes mencatat lonjakan tertinggi dalam sehari sejak virus itu mula menular lima bulan lalu.
Myanmar mengesan kes baharu membabitkan jangkitan tempatan pada 16 Ogos sejak kes tempatan terakhir dilaporkan pada 16 Julai. Sejak 16 Ogos peningkatan kes turut dilaporkan berlaku di Rakhine.
Sebanyak 157,843 sampel diuji dan 7,624 pesakit kini dalam siasatan, menurut data kementerian.
Menurut kementerian itu lagi sebanyak 354 pesakit sudah sembuh.
Myanmar melaporkan dua kes positif pertama pada 23 Mac dengan enam kematian dicatatkan setakat ini. – Bernama