Berita Utama

Kebun haram: ‘Tunggu kita menang’ sikap apologetik parti Melayu

Parti Cina tak fikir panjang untuk sepakat walaupun kerusi sikit

BANGI, 13 Muharram 1442H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kesal dengan sikap apologetik parti-parti Melayu setiap kali wujudnya sesuatu isu.

Mengulas kemelut kebun durian haram di Raub, Pahang, PEMBELA berkata, parti-parti Cina tidak berfikir panjang untuk sepakat dalam isu berkenaan, meskipun tidak memiliki banyak kerusi di Parlimen.

Sedangkan, parti-parti Melayu pula bersikap sebaliknya apabila masing-masing berbelah bahagi dengan pelbagai alasan, apatah lagi berlumba satu sama lain, katanya.

“Antara alasan yang masyhur ialah ‘tak cukup kerusi Parlimen’, ‘tunggu kita menang lagi sekali’, ‘kita tak rasis’ dan ‘takut hilang undi’.

“Lihat sahaja isu sekolah vernakular baru-baru ini. Parti-parti Cina tidak fikir panjang untuk bersepakat dalam sesuatu isu walaupun kerusi mereka sedikit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan pergeseran antara pekebun durian di Raub berubah menjadi isu politik selepas dua parti Cina iaitu MCA dan DAP berlumba-lumba menjadi ‘hero’ dalam isu itu.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang memulakan tindakan tegas ke atas pekebu durian di Raub yang mengusahakan tanaman secara haram di kawasan tanah bukan milik mereka.

Tindakan dilakukan selepas kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian yang terlibat adalah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button