Berita Utama

Pihak bela penceroboh tanah haram memalukan!: PAS

Gesa PDRM, SPRM siasat individu di sebalik kebun durian haram

BANGI,  13 Muharram 1442H, Selasa – PAS menyifatkan tindakan mana-mana pihak yang membela penceroboh tanah kerajaan negeri secara haram di Raub, Pahang sebagai memalukan.

Justeru, parti itu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara menyeluruh individu serta organisasi yang terlibat dalam kes pencerobohan berkenaan.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, siasatan menyeluruh itu perlu bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengisi periuk nasi sendiri dalam isu tersebut.

“PAS menyokong ketegasan kerajaan negeri Pahang yang melakukan operasi pemutihan tanah haram di seluruh negeri tersebut.

“Langkah kerajaan negeri yang menetapkan denda kepada peneroka haram dilihat sebagai usaha bagi membanteras kegiatan pencerobohan ini agar tidak berleluasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri seluas 4,400 hektar.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Mengulas perkara itu, Kamaruzaman berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan siasatan dengan adil terhadap semua pihak dan mengenakan hukuman setimpal jika disabit kesalahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button