Dunia

2 juta murid di Jordan mula sekolah

Kes jangkitan COVID-19 meningkat 600 dalam tempoh seminggu

AMMAN, 14 Muharram 1442H, Rabu – Hampir dua juta murid di Jordan kembali memulakan sesi persekolahan setelah lima bulan ditutup, meskipun pembukaan semula itu tidak merangkumi seluruh negara berikutan masih terdapat peningkatan kes COVID-19 di kawasan tertentu. 

Beberapa sekolah untuk pelarian Palestin dan sekolah negeri ditutup di beberapa kawasan di ibu negara, setelah kes meningkat dua kali ganda sejak beberapa hari lalu. 

Pihak berkuasa masih tidak yakin untuk membuka semula sekolah bermula 1 September, selepas jangkitan meningkat 600 kes dalam tempoh seminggu – jumlah kes tertinggi sejak Mac.

Agensi utama PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA berkata, sekurang-kurangnya 115,000 murid kembali ke sekolah semalam.

Bagaimanapun, sesi itu hanya membabitkan separuh murid sahaja, sementara separuh lagi masih perlu belajar di rumah secara bergilir. 

Sesi pengajaran di kem pelarian dekat bandar Madaba juga ditangguhkan setelah seorang wanita disahkan positif COVID-19, kata pegawai.

Meskipun kerajaan Jordan telah mengambil langkah lebih baik berbanding negara Timur Tengah lain dengan hanya 2,034 kes dan 15 kematian, kenaikan sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan berkemungkinan negara itu berdepan gelombang baharu. 

Peningkatan kes itu mendorong pihak berkuasa mengetatkan perintah berkurung semalaman di seluruh negara, menutup sempadan utama dengan Syria dan menangguhkan pembukaan lapangan terbang untuk penerbangan komersial.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button