Berita UtamaDunia

COVID-19: Indonesia catat 3,075 kes baharu dalam tempoh 24 jam

Jumlah jangkitan sebanyak 180,646 kes, 7,616 kematian

JAKARTA, 14 Muharram 1442H, Rabu – Indonesia kembali merekodkan kes positif baharu COVID-19 melebihi angka 3,000 dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 3,075 kes positif baharu dicatatkan dalam tempoh berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini 180,646.

Jumlah kes harian tertinggi setakat ini ialah 3,308 kes pada Sabtu lepas, sebelum berkurangan di bawah angka 3,000 sehingga semalam.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 111 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 7,616 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif baharu tertinggi iaitu 1,054 kes dan menjadi provinsi tertinggi kes positif keseluruhan, iaitu 42,041 kes, diikuti provinsi Jawa Timur 34,278 kes dan selebihnya di provinsi lain.

Sementara itu, provinsi Jawa Timur mencatatkan rekod kematian tertinggi keseluruhan, iaitu sebanyak 2,425 diikuti Jakarta (1,231) dan selebihnya di 32 provinsi lain di Indonesia.

Semalam, kerajaan Malaysia memutuskan sekatan kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Filipina dan juga dari Indonesia, bermula 7 September ini bagi membendung penularan virus itu berikutan peningkatan kes mendadak di negara berkenaan. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button