Berita Utama

Judi haram: PBT diminta senarai hitam pihak salah guna lesen

Ada premis jalankan aktiviti perjudian, berselindung di sebalik perniagaan kedai serbaneka, kedai kopi dan kedai buku

JOHOR BAHRU, 14 Muharram 1442H, Rabu – Polis Johor meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyenarai hitam mana-mana pemegang lesen perniagaan yang menyalahguna lesen berkenaan bagi melindungi aktiviti perjudian di premis mereka.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini bagi memastikan mereka tidak mengulangi perbuatan itu di masa akan datang, kerana siasatan mendapati ada premis berkenaan yang terus menjalankan aktiviti sama walaupun sudah beberapa kali diserbu.

Menurutnya, operasi bersepadu pemotongan bekalan elektrik bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini menyaksikan empat premis dipotong bekalan elektriknya selepas ada antara premis itu didapati menjalankan aktiviti perjudian dengan berselindung di sebalik perniagaan kedai serbaneka, kedai kopi, kedai buku dan kedai menjual alatan komunikasi.

“….pemilik perniagaan ini … kita akan serahkan kepada PBT. Kita akan pastikan mereka ini disenarai hitam (agar) pada permohonan akan datang, dia tidak dibenarkan untuk menjalankan perniagaan.

“Ada premis-premis yang kita potong bekalan hari ini dah tiga empat kali kita serbu, didapati menjalankan aktiviti perjudian, tetap masih mengulanginya.

“Jadi, kita harap dengan tindakan memotong bekalan elektrik ini akan memberi satu mesej yang keras kepada sindiket perjudian ini,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi pemotongan bekalan elektrik bersama TNB di sekitar Taman Daya, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dua bulan lepas, polis Johor telah mengadakan 695 serbuan dan menangkap 1,018 individu berkaitan dengan pelbagai aktiviti perjudian haram. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button