Berita Utama

Kenapa RoS belum haramkan Dong Zong? Desak Menteri Dalam Negeri bertindak

Semua salah laku pertubuhan Cina dibiarkan, tidak diambil tindakan

Oleh Athirah Huda Zalhe

SHAH ALAM, 14 Muharram 1442H, Rabu – Bukan hanya lantang menentang pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, pertubuhan radikal Cina, Dong Zong turut berkeras menolak sebarang Dasar Pendidikan Kebangsaan sejak 60 tahun dahulu.

Bermula daripada Penyata Barnes 1956 sehinggalah rancangan Sekolah Wawasan pada tahun 2000, Dong Zong kekal menentang dasar mahu mengukuhkan perpaduan kaum melalui sekolah satu aliran yang mengutamakan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Semua salah laku itu menimbulkan persoalan, mengapa pertubuhan ekstrem berkenaan masih belum diharamkan sehingga kini.

Atas sebab itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini mengulangi desakan supaya supaya kerajaan – khususnya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengharamkan Dong Zong.

Setiausaha Agungnya, Mahmud Hishamuddin berkata, menghairankan apabila semua salah laku Dong Zong tidak diambil tindakan oleh pihak RoS.

“Walhal, jelas aktiviti mereka melanggar peruntukan Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966.

“Pihak RoS diberi kuasa oleh Seksyen 2A tersebut untuk membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang mana aktiviti-aktiviti dan hal ehwal pertubuhan itu didapati tidak selaras dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri serta kedudukan agama Islam dan penggunaan bahasa Kebangsaan bagi maksud rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di hadapan Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Sidang media berkenaan diadakan selepas Setiausaha Agung Armada Malaiu Malaysia, Nazri Che Arr dipanggil oleh RoS Selangor, bagi menghadiri satu prosedur siasatan mengikut Seksyen 66 Akta Pertubuhan 1966.

Prosedur itu berkenaan berkait satu laporan yang telah dikemukakan kepada RoS terhadap Dong Zong – sebuah pertubuhan yang menguruskan Sekolah-Sekolah Cina di Malaysia.

Mahmud berkata, aduan itu dibuat susulan satu kongres yang cuba dianjurkan Dong Zong untuk menentang tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular pada Disember tahun lalu.

“Persidangan anti-Jawi oleh Dong Zong telah berjaya dibatalkan oleh pihak polis melalui perintah mahkamah apabila mendapat tentangan NGO-NGO Melayu Islam.

“Persidangan anjuran Dong Zong itu hampir mencetuskan ketegangan kaum kerana NGO Melayu, Islam juga bercadang mengadakan perhimpunan balas di Stadium Kajang dan hadapan bangunan Dong Zong namun dibatalkan atas arahan pihak polis.

“Disebabkan salah laku Dong Zong yang boleh menganggu-gugat ketenteraman kaum, kami menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggunakan kuasanya mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan dengan mengeluarkan perintah untuk mengharamkan Dong Zong,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button