Berita Utama

Kerajaan perlu adil, bukti dah cukup untuk haramkan Dong Zong

Bukan hanya tak hormat orang Melayu, mereka juga langgar titah Agong

Oleh Athirah Huda Zalhe

SHAH ALAM, 14 Muharram 1442H, Rabu – Sebagaimana tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pertubuhan ekstrem sebelum ini, kerajaan juga perlu berlaku adil dengan pertubuhan radikal seperti Dong Zong.

Sikap rasis dan tindakan melampau lain daripada Dong Zong sudah cukup membuktikan pertubuhan berkenaan wajar diharamkan serta-merta, kata Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat.

Beliau menuntut kerajaan supaya berlaku adil, seperti mana tindakan tegas yang diambil ke atas beberapa pertubuhan ekstrem lain sebelum ini.

“Patutnya kerajaan mengambil tindakan tegas juga ke atas Dong Zong seperti dikenakan kepada Hindraf, jemaah Islah, al-Arqam yang dianggap ‘pengganas’.

“Ikutkan Dong Zong sudah cukup bukti untuk diharamkan dari segi cubaannya campur tangan dalam urusan bahasa, menghina tulisan Jawi dan melanggar Perlembagaan serta menggugat ketenteraman dan rusuhan kaum,” katanya pada sidang media PEMBELA di sini, hari ini.

Dong Zong bukan hanya menentang usaha memperkasakan bahasa kebangsaan, bahkan turut telah melanggar titah Yang di-Pertuan Agong yang mempertahankan isu tulisan Jawi.

“Mereka tidak menghormati orang Melayu dan bahasa Melayu. Di mana sahaja, puak berkenaan sentiasa menunjukkan perangainya, menentang dasar bersifat nasional.

“Sampai bila umat Islam dan bangsa Melayu akan menjadi mangsa? Dalam isu apa pun, orang kitalah yang sentiasa menjadi mangsa. Jadi kita merayu Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri memainkan peranan bertindak tegas.

“Kalau tanya RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia), mereka ada bidang kuasa yang terhad. Jadi (menteri) gunakanlah kuasa ini ketika Allah sedang berikan kuasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button