Berita UtamaDunia

Korban petugas barisan hadapan di Syria meningkat

Kekurangan PPE, kementerian tak mampu adakan ujian saringan secara meluas

BEIRUT, 14 Muharram 1442H, Rabu – Jumlah kematian petugas barisan hadapan yang memerangi wabak COVID-19 kian meningkat di wilayah-wilayah dikuasai pemerintah Syria.

Hal itu berikutan set alat perlindungan diri (PPE) semakin berkurangan, lapor Human Rights Watch (HRW).

Kumpulan hak asasi itu berkata, kebanyakan doktor yang meninggal dunia disebabkan gejala berkait rapat dengan COVID-19, tambahan pula mereka tidak menjalani sebarang ujian saringan wabak berkenaan.

“Perkara ini semakin membimbangkan. Laporan kematian doktor dan jururawat akibat COVID-19, bertentangan dengan angka rasmi,” kata penyelidik HRW Sara Kayyali.

Setakat ini, Syria telah mencatatkan 2,830 kes termasuk 116 kematian.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mengakui bahawa mereka tidak mampu untuk mengadakan ujian saringan secara meluas di wilayah-wilayah berkaitan.

Sebanyak 33 kematian membabitkan para doktor telah disahkan akibat simptom berkait rapat dengan COVID-19, menurut angka rasmi diterbitkan pada Ogos.

Selain itu, sebanyak 64 kematian penduduk akibat wabak itu telah direkodkan.

“Doktor dan jururawat yang berkhidmat pemerintah mendakwa mereka tidak mempunyai PPE yang mencukupi, terutama di kawasan luar bandar, “ kata pemerhati yang berpusat di New York.

Set alat perlindungan diri yang disediakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mencukupi bagi menampung petugas perubatan barisan hadapan.

Pekerja kesihatan memaklumkan kepada HRW bahawa kapasiti hospital bagi merawat pesakit COVID-19 kini penuh, malah mereka juga kekurangan peralatan bantuan pernafasan. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button