Berita UtamaDunia

Mangsa kem Xinjiang dedah kisah silam ‘diseksa’ rejim China

Kaki dan tangan diikat ketika tidur, Mihrigul trauma sehingga hari ini

XINJIANG, 14 Muharram 1442H, Rabu – Etnik minoriti Islam Uyghur di China meluahkan rasa kecewa apabila mereka terus ditindas di negara Tembok Besar itu.

Salah seorang mangsa, Mihrigul Tursun menceritakan bagaimana dia diseksa ketika berada di kem tahanan di Xinjiang.

Tanpa melakukan sebarang kesalahan dan jenayah, dia diseksa dengan begitu kejam di dalam penjara.

“Saya tidak lakukan apa-apa jenayah pun tapi tetap ditahan,” katanya ketika mendedahkan kisahnya dalam satu forum baru-baru ini.

Rejim China telah menahan sekurang-kurangnya 800,000 etnik Uyghur dan jumlahnya kemungkinan melebihi dua juta orang ketika ini di kem tahanan.

Menurut The Guardian, jumlah berkenaan adalah penahanan massa etnik minoriti terbesar sejak Perang Dunia Kedua. Di kem itu, etnik Uyghur terpaksa menjalani program psikologi selain mengalami penyeksaan fizikal dan seksual.

Mihrigul yang dilahirkan di Turkistan Timur atau Xinjiang telah belajar di sekolah Cina sebelum berpindah ke Mesir. Dia yang mempunyai anak kembar tiga telah kembali ke China supaya ibu bapanya dapat bertemu dengan anak-anaknya.

Bagaimanapun, ketika tiba di lapangan terbang, pihak polis China telah memisahkan dia daripada anak-anak, selain menutup kepalanya dengan karung hitam.

Mihrigul disoal siasat selama tiga jam sebelum dipenjarakan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku pada anak-anak. Anak bongsu saya baru berusia 45 hari. Mereka memerlukan saya,” katanya sebak.

Mihrigul berkata, dia diberitahu bahawa anak-anaknya berada di hospital, selepas beberapa hari dia dibawa ke kem tahanan.

Katanya, doktor memberitahu ketiga-tiga anaknya telah menjalani pembedahan di leher, namun dia dihalang bertemu mereka.

Pihak polis telah menyerahkan mayat salah seorang daripada anaknya pada hari berikutnya, dan beliau percaya, anaknya telah meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum beliau dibebaskan dari kem untuk mengunjungi hospital.

Antara penyeksaan lain yang dialami termasuk dipaksa makan sejenis pil setiap dua jam, sehingga berasa kebas serta terpaksa menunggu giliran tidur bersama 68 wanita lain di ruangan sempit.

Malah, kaki dan tangan juga diikat ketika tidur, menjadikan dia trauma sehingga hari ini. Selama tiga bulan berada di kem tahanan, dia menjadi saksi atas kematian sembilan wanita.

Mihrigul kemudian dibenarkan pulang ke rumah seketika, namun gerak-gerinya diperhatikan anggota rejim China.

Katanya, rejim China tinggal, tidur dan makan bersama keluarganya, malah turut mengancam bahawa ibu bapanya akan dikenakan tindakan sama, sekiranya beliau menghebohkan penyeksaan yang dialami ketika berada di kem tahanan.

Mihrigul meminta rejim China untuk menghantar anak-anaknya yang masih kecil ke Mesir atas faktor keselamatan. Namun, mereka mengenakan syarat – supaya menandatangani perjanjian dan merekod video yang memaksa dia mengaku kononny dia tidak diseksa ketika berada di kem tahanan.

Susulan daripada itu, dia meminta hak suaka di Amerika Syarikat (AS), negara tempat tinggal sekarang.

Bagaimanapun, rejim China telah memaksa keluarga untuk memburuk-burukkan namanya selepas dia meninggalkan China, paling menyedihkan sehingga saat ini dia tidak lagi mendengar khabar mereka. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button