Berita Utama

Pemandu mabuk dipenjara 4 bulan, denda RM5,500

Alkohol dalam badan tertuduh lebih sekali ganda had dibenar

TAWAU, 14 Muharram 1442H, Rabu – Mahkamah Majistret Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM5,500 terhadap seorang lelaki atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Kubota, pada 31 Ogos lalu.

Tertuduh Chiang Sien Chai, 54, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol ketika ditahan dalam Ops Mabuk pada hari berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir berkata, mahkamah mengambil maklum bahawa Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Seksyen 45A ini dengan menaikkan kadar hukuman.

Dalam kes ini, katanya, kepentingan awam seperti dihujahkan oleh pegawai pendakwa tidak dapat disangkal selain mengambil kira kandungan alkohol dalam badan tertuduh adalah lebih sekali ganda had yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Faktor umur tertuduh juga diambil kira dan sepatutnya sebagai seorang dewasa dengan usia 54 tahun, OKT (orang kena tuduh) boleh berfikir dengan waras untuk tidak memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button