Berita Utama

Pengurusan kes rayuan Najib Razak pada 15 Oktober

Kemuka rayuan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta

PUTRAJAYA, 14 Muharram 1442H, Rabu – Mahkamah Rayuan menetapkan 15 Oktober ini untuk pengurusan kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan, hukuman penjara dan denda atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Peguamnya Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan perkara itu ketika dihubungi melalui pesanan teks.

Bekas Perdana menteri itu mengemukakan rayuan terhadap sabitannya, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhi Mahkamah Tinggi.

Pada 28 Julai  lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib, 67, bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan dana SRC.

 Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan CBT dan pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Hakim bagaimanapun  memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Najib kini bebas dengan jaminan RM2 juta berserta dua penjamin.

Sementara itu, pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap Najib. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button