Berita Utama

Rakyat bosan ahli politik ‘warlord’, mahu pemimpin baru terajui negara

Ramai pemimpin muslim wibawa di kalangan anak muda yang boleh diketengahkan

BANGI, 14 Muharram 1442H, Rabu – Jangan pandang rendah terhadap idea penubuhan parti anak muda, kata Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Beliau berkata, dianggarkan seramai lima hingga tujuh juta pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak adalah dalam kalangan anak muda.

Justeru, beliau berpendapat bahawa idea penubuhan parti anak muda tidak boleh dipandang remeh, memandangkan ramai pengundi di Malaysia sudah bosan dengan ahli politik ‘warlord’.

“Ramai di kalangan pengundi Malaysia yang bosan dengan ahli politik ‘warlord’ yang memegang tampuk posisi terlalu lama, dan sarat dengan isu salah guna kuasa dan rasuah.

“Rakyat Malaysia mendambakan pemimpin politik yang bernafas baharu, amanah dan kompeten untuk menerajui kepimpinan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Merujuk politik parti tamak haloba DAP, Dr Zainur Rashid berkata, 60 peratus calon PRU14 daripada parti rasis berkenaan adalah berumur di bawah 40 tahun.

“Contohnya, Yeo Bee Yin dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar ketika berusia 35 tahun (2018). Teo Nie Ching dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan ketika berumur 37 tahun (2018).

“Saya yakin bahawa Malaysia memiliki ramai pemimpin muslim yang berwibawa di kalangan anak muda yang boleh diketengahkan sebagai persiapan untuk memimpin negara dalam sedikit masa nanti,” katanya.

Antara parti yang tidak terikat dengan ‘warlord’, apatah lagi ditaja oleh mana-mana taikun ketika ini adalah BERJASA. 

Terdahulu, Naib Presiden BERJASA, Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman berkata, BERJASA disediakan sebagai parti masa depan, untuk anak-anak muda yang sudah muak dan meluat dengan perangai ahli politik veteran sekarang. 

“Anda bebas mencorakkan masa depan parti dan negara, menurut kerangka kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara. 

“Walaupun sudah lebih 40 tahun ditubuhkan, BERJASA kini berada dalam keadaan ‘fresh’ di bawah barisan kepimpinan baharu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button