Berita Utama

Dong Jiao Zong terkejut KPM nafi cadangan bina, pindah SJKC

Timbalan Menteri Pendidikan I beri alasan ianya adalah warta lama

BANGI, 15 Muharram 1442H, Khamis – Dong Jiao Zong terkejut di atas tindakan Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya menafikan projek penambahan dan pemindahan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dengan alasan ianya warta lama.

Sehubungan itu, pertubuhan radikal berkenaan menggesa kerajaan mengumumkan projek itu dalam masa terdekat selain memberikan penjelasan tentang perkembangannya.

Menurut Dong Jiao Zong, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Menteri Pendidikan ketika itu Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan kelulusan penambahan 10 buah SJKC baharu dan pemindahan enam buah SJKC pada 26 Oktober 2017.

Dakwanya, pengumuman itu turut mendapat liputan meluas dari media rasmi kerajaan.

“Selepas PRU, Kementerian Pendidikan (KPM) pernah mengumumkan akan meneruskan projek penambahan dan pemindahan SJKC ’10 campur 6′ tapi telah mengubah lokasi beberapa SJKC ini.

“…selain telah menambah 10 lagi SJKC yang telah mendapat kelulusan lebih awal tapi belum dirasmikan, ke dalam senarai ini menjadikannya projek yang melibatkan pembinaan 26 buah SJKC atau projek ’10 campur 6 campur 10′,” dakwanya menerusi satu kenyataan, kelmarin.

Dalam kenyataan itu juga, Dong Jiao Zong mendakwa, menurut laporan berita pada 31 Januari 2020, rancangan penambahan dan pemindahan SJKC adalah di antara perkembangan yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu Teo Nie Ching.

“Dong Jiao Zong menegaskan, projek penambahan dan pembinaan SJKC yang telah diluluskan oleh KPM ini sememangnya wujud dan sudah ada kemajuan. Oleh itu, kakitangan KPM tidak boleh menafikan mahupun mengabaikannya.

“Berkenaan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya beberapa hari lepas bahawa tiada projek penambahan dan pemindahan SJKC di bawah KPM, Dong Jiao Zong berasa terkejut, kerana ianya menyimpang dari kenyataan.

“Tindakan beliau itu telah menimbulkan keraguan dalam masyarakat Cina. Dengan itu, Dong Jiao Zong memohon agar kerajaan memberikan penjelasan, mengumumkan butiran projek selain butiran kemajuannya agar semua pihak boleh mendapatkan gambaran sebenar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button