Berita Utama

Pendirian Pemuda PAS isu vernakular naif: ANGKASA

Tidak berjiwa besar serta tak faham hakikat realiti sebenar

BANGI, 15 Muharram 1442H, Khamis – Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) kekal dengan pendirian untuk memansuhkan sekolah vernakular walau apa alasan diberi untuk mempertahankannya.

Ketuanya, Hazwan Mohamad berkata, pemansuhan sekolah itu sama ada secara beransur-ansur atau sepenuhnya boleh dibincangkan secara dengan lebih mendalam.

“Pokoknya, kita mesti bersetuju bahawa pada akhirnya kita perlukan hanya satu sistem pendidikan untuk anak watan Malaysia.

“Jika soal pengajaran bahasa Mandarin atau Tamil yang menjadi kerisauan, kita boleh bersetuju supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa ini diajar dalam sekolah kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai isu sama, Hazwan berkata, suntikan ideologi antinasional yang semakin membarah adalah salah satu perkara yang perlu diberi perhatian selain faktor integrasi dan pergaulan anak-anak dalam keputusan menutup sekolah vernakular.

“Untuk faham perkara ini, ada dua pesanan. Pertama, jangan jadi terlalu naif. Dan kedua, berjiwa besarlah wahai ahli politik.

“Ketua Pemuda parti ini menyebut, buat apa nak roboh sekolah yang dah ada. Saya tergelak kecil. Sejak bila pemansuhan sama dengan merobohkan,” katanya sinis.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin menyokong supaya sekolah vernakular terus dibuka tetapi berharap pendidikannya diperbaiki lagi.

Khairil Nizam berkata, pendirian beliau dan sayap Pemuda PAS mengenai isu sekolah vernakular tidak berubah sejak dua tahun lalu.

“Sekolah vernakular? Biarlah dia buka. Cuma kita perlu memperkasakan kualiti pendidikan kebangsaan dan kemenjadian murid di dalam sekolah vernakular.

“Yang sedia ada tu sedia ada la, takkan kita nak roboh?

“Sebab itu pada pendapat pemuda PAS, sekolah-sekolah ini perlu mengadaptasi kualiti sistem pendidikan negara dan sekiranya perlu diperkasakan lagi, silakan. Kita serahkan kepada profesor-profesor atau golongan bijaksana yang boleh memperkasakannya,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button