Berita Utama

Conteng mural: 3 wanita dibebas selepas beri keterangan

Mereka punyai alibi kukuh tak boleh disabitkan jenayah itu

SHAH ALAM, 15 Muharram 1442H, Khamis – Tiga wanita dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng mural yang memaparkan wajah pemimpin negara Julai lepas, namun mereka dibebaskan kemudiannya selepas didapati mempunyai alibi yang kukuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata ketiga-tiga wanita berumur antara 25 dan 35 tahun itu dibebaskan selepas didapati mempunyai alibi kukuh yang tidak membolehkan mereka disabitkan dengan jenayah itu.

“Mereka telah dipanggil tiga minggu lepas, kerana pada mulanya disyaki terlibat, namun selepas siasatan, didapati mereka tidak terlibat. Kami masih bekerjasama dengan Bukit Aman dalam aspek teknikal bagi mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas merasmikan Neighborhood Watch Programme di Seksyen U5, di sini.

Julai lepas, mural gergasi beberapa potret pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di sini, diconteng pihak tidak bertanggungjawab dengan perkataan kurang menyenangkan menggunakan cat merah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button