Demi perpaduan, Cina dan India perlu lupakan vernakular
UMNO, PAS hanya fikir kemaslahatan kaum tertentu sahaja
BANGI, 15 Muharram 1442H, Khamis – Kaum Cina dan India dinasihat untuk tidak mempertahankan sekolah vernakular, sebaliknya perlu sama-sama menerima kehadiran sekolah kebangsaan.
Demikian saranan Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman yang memikirkan tentang kemaslahatan watan secara keseluruhan dalam memupuk perpaduan nasional.
Kebimbangan itu dilihat sebagai wajar selepas beliau mendakwa, PAS dan UMNO lebih memikirkan kemaslahatan kaum tertentu apabila mempertahankan sekolah vernakular.
“PAS dan UMNO fikir bahawa kaum Cina dan India tak perlu terima sekolah kebangsaan. Bukan Dong Zong sahaja, malah PAS dan UMNO akan pertahankan sekolah vernakular.
“PAS dan UMNO fikir kemaslahatan kaum tertentu sahaja, yang meneruskan polisi pengasingan kaum tinggalan penjajah.
“Ini satu perbezaan mudah difahami, antara BERJASA dan parti lain, tapi ia menyentuh soal yang mendasar, berkaitan etos dan identiti watan berdaulat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin menyokong supaya sekolah vernakular terus dibuka tetapi berharap pendidikannya diperbaiki lagi.
Khairil Nizam berkata, pendirian beliau dan sayap Pemuda PAS mengenai isu sekolah vernakular tidak berubah sejak dua tahun lalu.
“Sekolah vernakular? Biarlah dia buka. Cuma kita perlu memperkasakan kualiti pendidikan kebangsaan dan kemenjadian murid di dalam sekolah vernakular.
“Yang sedia ada tu sedia ada la, takkan kita nak roboh?
“Sebab itu pada pendapat pemuda PAS, sekolah-sekolah ini perlu mengadaptasi kualiti sistem pendidikan negara dan sekiranya perlu diperkasakan lagi, silakan. Kita serahkan kepada profesor-profesor atau golongan bijaksana yang boleh memperkasakannya,” katanya.