Berita Utama

Hanya 2.7 peratus SJKC daripada 1,299 buah setuju laksana Jawi

Peratus setuju bagi SJKT lebih rendah iaitu hanya 0.2 sahaja

BANGI, 15 Muharram 1442H, Khamis – Jumlah sekolah vernakular yang bersetuju dengan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah kurang daripada tiga peratus.

Menurut sumber Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hanya 2.77 peratus daripada 1,299 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) bersetuju dengan pelaksanaan pembelajaran Jawi yang ditetapkan bermula bulan Jun tahun ini.

Sementara itu, hanya 0.2 peratus bersetuju dengan pembelajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT)

Memetik laporan Malaysiakini, KPM memberi maklumat balas itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Laporan media tempatan pada pertengahan tahun lepas berkaitan keputusan kerajaan meneruskan pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 bagi sekolah jenis kebangsaan (SJK) mendapat tentangan hebat masyarakat Cina dan India.

Pelaksanaan pembelajaran itu sebelum ini ditetapkan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Pada 14 Ogos tahun lepas, Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan pelaksanaan tulisan Jawi di SJK akan hanya melibatkan pembelajaran tiga muka surat di dalam buku mata pelajaran Bahasa Melayu selepas mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan para pelajar.

Pada 5 Disember 2019, KPM menerbitkan Garis Panduan Pengenalan Tulisan Jawi dalam Kurikulum Bahasa Melayu, yang memberi kuasa kepada suara majoriti ibu bapa bagi menentukan sama ada ia bakal dilaksanakan.

Sekiranya 51 peratus ibu bapa bersetuju (atau tidak setuju), pelaksanaan tulisan Jawi akan diperkenalkan (atau tidak akan) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 sesi persekolahan tahun 2020.

PIBG dipertanggungjawabkan untuk melaporkan keputusan pungutan suara ibu bapa kepada pengetua.

Borang pungutan suara yang diedarkan kepada ibu bapa perlulah dikembalikan kepada PIBG dalam tempoh 14 hari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button