Berita Utama

Kebun haram: Buang sikap ‘double standard’ bertegas saman penceroboh

PEMBELA buat laporan polis peneroka tanam durian secara haram di Raub

RAUB, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) memohon kerajaan negeri Pahang untuk tidak bertolak ansur serta membuka jalan keluar kepada penceroboh yang meneroka tanah secara haram di Raub.

Gesaan itu bagi mengelakkan daripada berlakunya ‘double standard’ kepada golongan berkenaan, memandangkan tindakan tegas pernah diambil terhadap kaum peribumi yang menceroboh.

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat menegaskan, kerajaan negeri seharusnya menyaman pihak terbabit tanpa perlu berunding.

“Ini kita minta kerajaan negeri bertegas. Kalau tidak boleh bertegas kita anggap ‘double standard’ dan memberikan imej yang buruk kerana pihak penceroboh di kalangan bangsa ini diberikan layanan yang istimewa manakala peribumi Melayu Islam diambil tindakan yang tegas. Ini tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung isu penerokaan tanah secara haram di Raub, Pahang, hari ini.

Dalam laporan berkenaan, Ustaz Masrizi mendakwa, terdapat golongan tertentu termasuk pemimpin politik pembangkang yang terang-terangan menyokong kumpulan penceroboh.

Kesal dengan perkara itu, beliau berkata, ahli politik seharusnya mengambil jalan untuk mengajak penceroboh itu taat kepada undang-undang bukan melanggarnya.

“Kita tidak faham sebenarnya pemimpin daripada parti ini nak mengajak rakyat untuk langgar undang-undang atau mereka ini memang nak lahirkan negara huru-hara dengan cara yang sebegini.

“Sepatutnya mereka mengajak kepada golongan ini taat kepada undang-undang. Ini yang kita dapat lihat sikap hipokrit yang jelas berlaku kepada pemimpin politik yang ‘payung’ atau bersubahat dengan kumpulan ini.

“Ini kita tidak boleh biarkan, rakyat peribumi dan kerajaan wajib hapuskan golongan ini kerana mereka ini jadi pengkhianat mengajak melawan undang-undang,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan negeri Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Antara kawasan kebun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button