Kerajaan salur hampir RM400 juta menerusi Musaadah COVID-19
Santuni pelbagai lapisan masyarakat memerlukan sebaik mungkin
KOTA BHARU, 15 Muharram 1442H, Khamis – Kerajaan telah menyalurkan hampir RM400 juta menerusi inisiatif dan program Tabung Musaadah COVID-19 bagi membantu meringankan golongan yang terjejas akibat wabak itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata menerusi inisiatif berkenaan pihaknya telah menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan sebaik mungkin.
“Sehingga kini kami telah memperuntukkan hampir RM400 juta di bawah Musaadah COVID-19 dengan menyantuni golongan gelandangan, Orang Asli, asnaf, fakir miskin, penduduk Felda, nelayan dan juga menerusi program pembaikan rumah dan program inspirasi keluarga di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
“Sudah ramai yang mendapat manfaat menerusi inisiatif ini dan ia akan diberikan secara berterusan dari semasa ke semasa, malah sepanjang bulan Ramadan lalu di Wilayah Persekutuan kami telah memberi makan kepada hampir 3 juta orang selain beberapa bantuan lain termasuk elaun penuh guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selama tiga bulan dan bantuan kepada guru-guru tahfiz,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Inspirasiku My H.A.U.S di bawah YaPEIM Peringkat Negeri Kelantan di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan.
Terdahulu, YaPEIM menerusi Program Inspirasiku MY H.A.U.S telah menyantuni keluarga seorang ibu tunggal Rashidah Semail, 48, di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000.
Sementara itu, Parihah berkata peruntukan berkenaan bagi melaksanakan tujuh teras sokongan di bawah Program Inspirasiku MY H.A.U.S yang merangkumi tempat tinggal, kelestarian kehidupan, latihan kemahiran, transformasi kerjaya, inspirasi pendidikan anak-anak dan pembangunan sahsiah diri dan apresiasi.
“Pihak kami terpanggil untuk membantu keluarga ini selepas mendapat maklumat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bahawa Rashidah telah hilang punca pendapatan keluarga selepas kematian arwah suaminya Abu Bakar Che Mohd Yusof, 52, pada Mac lalu.
“Menerusi peruntukan ini juga kami akan membantu dari segi latihan kemahiran memandangkan Rashidah mahir dalam menjahit. Malah, pihak kami juga dalam perancangan untuk membantu tiga keluarga lagi yang belum ditentukan lokasinya dengan peruntukan yang sama iaitu RM50,000 bagi setiap keluarga,” katanya. – Bernama