Berita Utama

Kesihatan Mufti Perak semakin baik

Telah dipindah ke wad biasa selepas dirawat di ICU sejak 23 Ogos

IPOH, 15 Muharram 1442H, Khamis – Keadaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kini bertambah baik dan telah dipindahkan ke wad biasa Hospital Pakar KPJ Ipoh selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 23 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata beliau dimaklumkan mengenai parkara itu oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

“Beliau (Harussani) masih dipantau rapi oleh Pakar Perubatan dan Neurologi Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir, keadaannya bertambah baik dan beliau sudah boleh bertindak balas serta faham apa yang kita cakap, namun masih belum mampu berinteraksi balik dengan kita.

“Difahamkan juga, bahagian kanan badannya yang sebelum ini lemah sudah boleh digerakkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini, hari ini.

Harussani, 81, dimasukkan ke ICU selepas diserang strok selepas menunaikan solat Subuh pada 23 Ogos.

Mohd Akmal berkata mereka yang ingin menziarahi Harussani disaran supaya tidak datang ramai-ramai bagi membolehkan mufti Perak itu berehat sepenuhnya, selain perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak hospital.

Harussani dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran; Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button