Berita Utama

Polis rampas dadah bernilai RM6.58 juta

Dua beranak, seorang remaja positif syabu ditahan

KANGAR, 15 Muharram 1442H, Khamis – Polis menahan dua beranak serta seorang lagi remaja dan merampas 126 bungkusan plastik dadah syabu serta ganja bernilai kira-kira RM6.58 juta di Felda Rimba Emas, Padang Besar semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, seorang bapa berusia 43 tahun dan anaknya berusia 16 tahun ditahan bersama dengan seorang rakan sebaya anaknya di rumah mereka di kawasan Felda berkenaan dalam serbuan itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai 126 bungkusan plastik berwarna hijau berisi dadah jenis syabu serta 100 bungkusan mampat berisi dadah, dengan semua bungkusan dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu.

“Dua remaja berkenaan ditahan ketika sedang menyusun bungkusan, sebelum bapa remaja itu tiba di rumah berkenaan dan ditahan di lokasi yang sama kira-kira dua jam kemudian,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Katanya, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati ketiga-tiga mereka positif syabu serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, dan mereka dipercayai bergiat aktif dalam rangkaian pengedaran dadah sejak awal tahun lepas.

Surina berkata, semua suspek direman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button