Berita Utama

BN dakwa isu roboh rumah rakyat Selangor berpunca dasar PKR sejak 2008

Janji 150,000 tapi hanya kurang 5,000 rumah mampu milik telah siap sehingga 2018

BANGI, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Perobohan rumah-rumah rakyat di Selangor adalah isu sistematik yang disebabkan oleh dasar kerajaan PKR negeri itu sejak 2008.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mendakwa, perkara itu juga berpunca apabila rakyat tidak mampu membeli rumah disebabkan harganya terlalu mahal.

Malah, katanya, bilangan rumah mampu milik yang sedikit, selain pembinaanya diabaikan turut menjadi punca perobohan penempatan di Selangor.

“Pembinaan rumah atas tanah rizab atau rumah setinggan akan lebih berleluasa dan terus berlaku.

“Rumah-rumah ini lantas diroboh oleh kerajaan negeri. Namun, hal ini bukanlah semuanya salah rakyat, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas isu sama, Isham yang juga Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia) berkata, harga rumah di Selangor melambung tinggi sejak 2008 disebabkan kerajaan negeri menaikkan cukai-cukai berkaitan perumahan dan pembangunan sehingga lebih 300 peratus.

Beliau juga mendakwa, projek-projek perumahan kos tinggi dan mewah lebih diutamakan berbanding perumahan mampu milik.

Katanya, PKR telah menjanjikan sebanyak 150,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat Selangor sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

“Namun, selepas mereka menang pilihan raya dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada tahun 2008, sehingga 2018 sebelum PRU14 hanya kurang 5,000 rumah mampu milik (Selangorku) yang telah disiapkan,” katanya.

Semalam, 19 pemilik buah rumah Desa Subang Perantau, Shah Alam menyaksikan kediaman masing-masing dirobohkan pihak berkuasa, selepas kerajaan Selangor memutuskan lot tanah mereka terbabit dengan projek melencongkan Sungai Pelempas di situ.

Berita Harian melaporkan, 17 kediaman sudah dirobohkan, manakala dua lagi pemilik rumah minta ditangguhkan dan diberi tempoh sehingga 14 September ini untuk mengosongkan kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Desa Subang Perantau, Basri Mustapha berkata, permohonan secara berkumpulan untuk 105 lot tanah di situ dibuat pada 1990 dan hanya 16 lot tanah yang belum diluluskan Geran Kediaman Kekal sehingga kini.

Katanya, setakat ini penduduk yang kediamannya yang dirobohkan hanya diberi pampasan di antara RM5,000 hingga RM15,000 dan jelas ia tidak memadai dengan kos dilaburkan membina kediaman di antara RM100,000 hingga RM300,000.

Selain jumlah pampasan yang tidak setimpal, penduduk yang terkesan akibat perkara itu juga tidak diberikan kediaman transit sementara, dakwanya lagi.

Katanya, mereka hanya ditawarkan kediaman lain menerusi projek Rumah Selangorku di Bandar Rimbayu, namun kediaman itu hanya akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi, menyebabkan penduduk berasa teraniaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button