Berita Utama

Mahkamah bebaskan Goldman Sachs tuduhan urus niaga bon 1MDB

Timbalan Pendakwa Raya tarik balik semua pertuduhan

KUALA LUMPUR, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia daripada pertuduhan berkaitan kes terbitan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$6.5 bilion (RM27.2 billion).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap bank pelaburan global itu yang berpangkalan di United Kingdom.

“Oleh itu Goldman Sachs International Ltd, Goldman Sachs (Asia) dan Goldman Sachs (Singapura) dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan terhadap mereka,” katanya.

Pada Disember 2018, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments PJS. Limited (Aabar Limited).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

Pada 4 Julai lalu, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon yang diatur untuk 1MDB.

Kementerian itu berkata penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai US$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya US$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah didiseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button