Berita UtamaDunia

Netanyahu secara ‘sembunyi’ sokong penjualan senjata AS ke UAE

PM Israel didakwa dorong perisik Mossad jual senjata ke Abu Dhabi

ABU DHABI, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Walaupun Perdana Menteri Israel pernah menentang secara terbuka penjualan senjata Amerika Syarikat (AS) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), hakikatnya secara ‘sembunyi’ Benjamin Netanyahu telah bersetuju selepas normalisasi hubungan kedua-dua negara, lapor media.

Netanyahu, yang secara terbuka menentang perjanjian senjata antara AS dan UAE pada bulan Ogos, kini tidak lagi membidas cadangan penjualan senjata itu selepas pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo di Baitulmaqdis yang diduduki minggu lalu.

Kini, New York Times melaporkan bahawa Netanyahu secara peribadi telah bersetuju rancangan pemerintah AS untuk menjual senjata canggih, khususnya jet tempur F-35 buatan AS, ke UAE walaupun dia pada awalnya menentang.

Bahkan, Netanyahu dilapor turut menggalakkan agensi perisik Mossad untuk menjual senjata Israel ke Abu Dhabi.

“Mossad, didorong oleh Benjamin Netanyahu, bersetuju untuk menjual sistem senjata canggih UAE,” lapor laman web berita Ynet Israel.

Idea itu bagaimanapun telah meletakkan Kabinet Israel kepada dua pihak – ada antara mereka yang melihat penjualan senjata sebagai alat untuk mengukuhkan hubungan dengan bekas musuh, dan juga pihak yang bimbang ia boleh merosakkan keselamatan Israel.

Pejabat Netanyahu pada awalnya menafikan pihaknya sedang mempertimbangkan penjualan senjata ke UAE.

Namun, jika tuduhan itu benar, ia seperti ‘AS dan Korea Utara menandatangani perjanjian damai – dan kemudian AS menjual senjata ke Korea Utara’, kata Forbes dalam satu laporan.

The Forbes membuat spekulasi bahawa pertahanan peluru berpandu Israel seperti Iron Dome kemungkinan akan berada di antara senarai utama pembelian memandangkan ancaman yang dihadapi oleh Abu Dhabi.  

Namun, laporan itu mengatakan, Tel Aviv mungkin enggan berkongsi teknologi ‘sensitif’ berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button