Berita Utama

Perlu program Rukun Negara untuk kukuhkan perpaduan

Bukan sekadar ikrar, mesti diterap dalam kehidupan seharian

KUANTAN, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Penganjuran program berkaitan Rukun Negara perlu dilakukan secara berkala setiap tahun sebagai ‘ulang kaji’ kepada semua rakyat Malaysia bagi mengukuhkan semangat perpaduan dalam menjalani kehidupan di sebuah negara majmuk.

Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, Murni Wizana Abd Ghani berkata, Rukun Negara seharusnya menjadi ‘pengikat’ kepada semua rakyat Malaysia yang pada masa ini semakin berdepan dengan cabaran masalah sosial.

“Ramai yang semakin melupakan prinsip Rukun Negara terutamanya buat mereka yang sudah lama meninggalkan alam persekolahan, yang semasa itu, bacaan ikrar Rukun Negara menjadi kewajipan setiap kali perhimpunan.

“Saya lihat program dengan pengisian Rukun Negara adalah satu keperluan pada masa ini, untuk rakyat Malaysia kembali mengingati bagaimana perpaduan kaum membantu negara memperoleh kemerdekaan dan bangkit semula selepas insiden 13 Mei 1969,” katanya.

Murni Wizana berkata demikian semasa ditemui selepas menyertai Program Jerayawara Menyemarakkan Sambutan 50 Tahun Rukun Negara oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Perpustakaan Awam Pahang.

Sementara itu, anak jati Chenor, Maran dekat sini, Mohd Shahrul Rezza Mohd Zahabar, 27, mengakui agak kecewa apabila mengetahui ada beberapa orang dewasa tidak dapat menjawab lima prinsip Rukun Negara apabila ditanya secara spontan kerana ia diajar sejak kecil.

“Prinsip ini seharusnya menjadi teras kepada rakyat. Jika ia diamalkan dengan baik, sudah pasti membantu negara untuk hidup dalam suasana harmoni kerana kita saling hormat antara satu sama lain.

“Ini selari dengan prinsip pertama Rukun Negara yang setiap agama mendidik umatnya untuk berkelakuan baik serta prinsip terakhir yang menitikkan aspek kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Pandangan itu turut dipersetujui pembantu perpustakawan, Nur Syamilla Sahar, 32, yang menambah pengertian kepada prinsip Rukun Negara juga membolehkan rakyat hidup dalam suasana aman kerana mendukung prinsip kedaulatan undang-undang.

Malah, Rukun Negara juga menitikberatkan aspek hormat dan setia kepada raja yang seharusnya mengelakkan insiden seperti menghina institusi beraja dan tidak seharusnya berlaku, katanya.

“Saya berharap prinsip Rukun Negara bukan sekadar menjadi ikrar yang hanya dibaca, sebaliknya setiap rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan latar belakang perlu menerapkan setiap prinsip itu dalam kehidupan seharian,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button