Berita Utama

‘Sudahlah Tanah Rizab Melayu makin pupus, penceroboh pula dibela’

Lebih baik tanah kebun durian di Raub diberi kepada veteran tentera

BANGI, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Sudahlah Tanah Rizab Melayu semakin pupus, penceroboh pula mahu dibela, kata Naib Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Menyifatkan keadaan itu sesuatu yang malang buat negara, beliau pelik apabila ada pihak yang beria-ia mempertahankan penceroboh tanah kerajaan di Raub, Pahang.

Dr Zainur Rashid berkata, lebih baik tanah yang menjadi pertikaian antara kerajaan negeri Pahang dan pekebun haram itu diberikan kepada veteran tentera.

“Adalah lebih baik diberikan tanah tersebut kepada para perajurit dan veteran tentera daripada puak penceroboh.

“Daripada ribuan hektar tanah yang diceroboh, ke mana hasil balaknya yang mungkin mencecah ratusan juta ringgit.

“Di mana kutipan cukai tanah yang tidak dibayar selama lebih 40 tahun dan berapa juta ringgit cukai pendapatan yang tidak dibayar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mencadangkan supaya sebahagian tanah berkenaan diserahkan kepada pemohon veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagaimana yang dijanjikan kerajaan terdahulu – Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, PEMBELA turut menggesa kerajaan menjadikan tanah kebun durian itu sebagai Tanah Rizab Melayu, bagi menggantikan tanah yang diambil dan tidak diganti.

Mengulas lanjut, Dr Zainur Rashid berkata, isu besar itu tidak seharusnya dibiarkan selesai tanpa keadilan diberikan kepada semua pihak.

“Malang sungguh negaraku, sudahlah Tanah Rizab Melayu semakin pupus, puak yang menceroboh pula yang mahu dibelanya,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pekebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button