Takkan nak tunggu LTTE angkat senjata baru nak haramkan?
Saranan tak label LTTE sebagai pengganas seperti bermotifkan politik
BANGI, 15 Muharram 1442H, Jumaat – Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) – yang mengancam keamanan negara – kelihatan begitu lemah dan bermotifkan politik.
Pemerhati politik, Ir Lukman Al-Hakim Muhammad berkata, seluruh dunia tahu betapa bahaya ideologi ekstremis LTTE, walaupun ahli-ahlinya yang berada di Malaysia belum lagi terbukti menyalahi undang-undang negara secara fizikal.
“Takkan kita hendak menunggu sehingga mereka melakukan jenayah dan mengangkat senjata di Malaysia baru kita hendak mengharamkan gerakan yang amat berbahaya ini?
“Ketika itu nasi sudah menjadi bubur,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Lukman berkata, LTTE adalah singkatan bagi Liberation Tigers of Tamil Eelam yang ditubuhkan pada tahun 1976 bagi membebaskan bahagian utara dan timur Sri Lanka melalui pendekatan ‘keganasan’ dan ketenteraan.
Gerakan itu, jelasnya, telah menyebabkan kematian lebih 80,000 orang sejak 1983 selama 26 tahun perang saudara selain kerosakan harta benda dan infrastruktur negara yang amat kronik.
“Ia diiktiraf sebagai gerakan pengganas yang amat berbahaya oleh 32 buah negara di dunia termasuk Kesatuan Eropah, Kanada, Amerika Syarikat dan India.
“FBI turut menggelar LTTE sebagai ‘antara gerakan pengganas paling berbahaya dan kejam di dunia’,” katanya.
Selain itu katanya, LTTE turut konsisten mencabul hak asasi manusia dengan membunuh orang awam, menggunakan kanak-kanak bawah umur sebagai tentera, menyeksa dan membunuh tawanan perang, melakukan pembersihan etnik yang amat kejam.
Bahkan, mereka menggunakan kekerasan seksual dan merogol wanita awam serta melakukan banyak lagi jenayah antarabangsa.
“Mereka turut melakukan pembersihan etnik terhadap umat Islam di kawasan utara Sri Lanka pada tahun 1990. Lebih 72,000 orang diusir dari kampung halaman dan sebahagiannya dibunuh
“LTTE amat membenci Islam dan sering melakukan pembunuhan besar-besaran dan pengeboman di masjid bagi menghapuskan umat Islam di Sri Lanka,” jelas Lukman.
Dengan semua keganasan yang telah dilakukan kumpulan tersebut, Lukman berpandangan, hanya ada dua sebab Dr Mahathir terlepas pandang semua fakta-fakta yang telah disenaraikan itu.
“Sama ada ada udang di sebalik batu atau beliau telah nyanyuk,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial, sepucuk surat bertarikh 12 Februari 2020 yang didakwa daripada Dr Mahathir kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung LTTE.
Menjelaskan isu penyebaran surat berkenaan, Dr Mahathir menegaskan Malaysia tidak seharusnya melabel sesebuah organisasi sebagai pengganas hanya kerana negara lain berbuat demikian.
“Bukan bermaksud saya sokong LTTE, saya tak sokong LTTE, saya bukan kata Hamas itu pengganas, Hamas ditakrif sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat.
“Saya dulu pun jumpa pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, kita bincang mengenai perjuangan dia, dia berkawan dengan saya, jadi itu saya nak terangkan, tak perlu cari masalah.
“Masalah (LTTE) itu berlaku di Sri Lanka, tak perlu ambil tindakan macam itu (di negara ini),” katanya tanpa mengesahkan kesahihan surat terbabit.