Berita Utama

Malaysia runding dengan 12 negara laksana VTL: Kementerian Luar

Pemilihan negara berdasarkan kepada status hubungan diplomatik, keperluan pergerakan rentas sempadan

KUALA LUMPUR, 27 Rejab 1443H, Selasa – Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan 12 negara bagi cadangan pelaksanaan kerjasama Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), kata Kementerian Luar.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, kementerian itu berkata, pemilihan negara-negara berkenaan adalah berdasarkan kepada status hubungan diplomatik dan keperluan pergerakan rentas sempadan.

“Dalam hal ini, untuk rantau ASEAN, Kerajaan Malaysia kini sedang berunding dengan Brunei, Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand.

“Manakala, negara-negara lain pula adalah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan United Kingdom,” kata kementerian dalam menjawab soalan Larry Sng (PBM-Julau) yang mahu kementerian menyatakan senarai negara-negara yang termasuk dalam cadangan bagi meluaskan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara luar di bawah kerjasama VTL.

Kementerian memaklumkan, terdapat tiga fasa di dalam rundingan VTL berkenaan iaitu fasa rundingan awal, fasa rundingan komprehensif dan fasa pelaksanaan.

Bagi fasa pelaksanaan, hanya Singapura berada di fasa itu melalui VTL-Udara dan VTL-Darat yang mula dilaksanakan sejak 29 November tahun lepas.

“Penangguhan VTL sebelum ini berikutan penularan varian Omicron telah disambung semula bermula pada 21 Januari lalu dengan kuota penjualan tiket yang dikurangkan kepada separuh daripada kuota asal,” katanya.

Sementara itu, rundingan dengan tiga negara yang berada di Fasa Rundingan Komprehensif iaitu Brunei, Indonesia dan Korea Selatan masih berjalan.

Manakala bagi fasa rundingan awal, terdapat lapan negara yang bersetuju untuk pelaksanaan VTL iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, United Kingdom, Vietnam dan Thailand.

“Secara kesimpulannya, kecuali aturan yang telah dilaksanakan dengan Singapura, perkembangan rundingan mengenai pembukaan sempadan dengan negara-negara lain yang telah dikenal pasti adalah agak perlahan, susulan penularan varian Omicron.

“Walaupun negara masing-masing mengambil pendekatan berhati-hati, rundingan mengenai pembukaan sempadan negara secara bersasar dan berperingkat ini masih lagi berjalan, dan Kementerian Luar akan terus bekerjasama dengan semua kementerian dan agensi dalam memastikan penyelarasan dan rundingan VTL dapat dilaksanakan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button