Berita Utama

Tambah 10 SJKC: KPM dituntut beri penjelasan, dolak-dalik kerajaan cetuskan polemik

iGuru syor tubuh pasukan khas kaji impak vernakular pada perpaduan nasional

BANGI, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Sikap dolak-dalik dan tidak konsisten kerajaan, khususnya Timbalan Menteri Pendidikan terhadap isu pertambahan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, boleh menimbulkan polemik berpanjangan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya tidak selari dengan pengumunan Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Sebelum ini, Ka Siong dilaporkan mengumum rancangan kerajaan menambah 10 lagi SJKC sehingga mendapat pujian pertubuhan radikal Cina, Dong Zong.

Bagaimanapun, Muslimin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung cadangan itu, dan menyatakan ia adalah warta lama yang dibangkitkan semula oleh pihak tertentu.

Kenyataan itu mengejutkan Dong Jiao Zong dan menggesa kerajaan mengumumkan projek itu dalam masa terdekat, selain memberikan penjelasan mengenai perkembangannya.

Dong Jiao Zong menegaskan, projek penambahan dan pembinaan SJKC yang telah diluluskan oleh KPM sememangnya wujud dan sudah ada kemajuan, justeru kakitangan KPM tidak boleh menafikan mahupun mengabaikannya.

Mengulas perkara itu, Mohd Azizee turut menuntut KPM memberikan jawapan yang jelas kepada semua pihak bagi mengelakkan persepsi negatif berhubung isu penambahan SJKC.

“Ia seolah-olah menunjukkan kerajaan sedia ada tidak ada pendirian yang jelas dan tuntas berkaitan isu sekolah-sekolah vernakular,” katanya.

Serentak itu, beliau mencadangkan supaya satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengkaji sejauh mana kewujudan sekolah vernakular kepada perpaduan nasional.

“Langkah ini penting untuk memastikan matlamat integrasi nasional tercapai.

“Kebimbangan kita pertambahan ini menambahkan jurang pemisahan kaum yang menyukarkan usaha membina perpaduan sejak di bangku persekolahan,” katanya.

Justeru, iGuru berpandangan sudah tiba masanya sistem pendidikan negara berorientasikan sekolah satu aliran sebagai sekolah nasional.

“iGuru melihat pihak KPM perlu memperkasa sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua kaum dengan identiti nasional dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button