Dunia

Tiada siapa berhak bercakap atas nama Palestin: Abbas

Pihak Berkuasa Palestin tolak AS jadi orang tengah dalam sebarang rundingan

RAMALLAH, 16 Muharram 1442H, Jumaat – Tekanan ke atas Palestin semakin meningkat sejak awal tahun, tambahan pula negara Arab tidak lagi memberikan komitmen kewangan mereka terhadap kami, kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. 

Dalam persidangan video antara Ramallah-Beirut semalam, Abbas menegaskan mulai sekarang tiada siapa diberi kuasa untuk bercakap di atas nama Palestin. 

“Kami hanya akan bercakap untuk tujuan kami sahaja,” tegas Abbas. 

Pertemuan intra-Palestin itu diadakan untuk berbincang mengenai langkah mencegah rancangan penaklukan negara haram Israel di Tebing Barat yang diduduki – ketika Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan perjanjian normalisasi dengan rejim itu.

Abbas menegaskan bahawa Pihak Berkuasa Palestin menolak negara pembuli, Amerika Syarikat (AS) menjadi satu-satunya orang tengah dalam sebarang rundingan dengan Israel. 

Beliau juga meminta persidangan perdamaian antarabangsa di bawah kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berdasarkan inisiatif perdamaian Arab. 

Sementara itu, Ketua Politik Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh berkata, perjanjian abad ini AS bertujuan mewujudkan gabungan wilayah yang membolehkan Israel masuk ke negara-negara Arab melalui normalisasi. 

“Kita melalui tempoh yang berisiko dan ancaman strategik yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap perjuangan Palestin dan wilayah kami,” kata Haniyeh. 

Beliau turut meminta program politik yang mengakhiri kesan Perjanjian Oslo diwujudkan dan mendapatkan semula kesatuan Palestin. 

13 Ogos lalu, UAE dan Israel mengumumkan perjanjian menormalkan hubungan dua negara, termasuk membuka kedutaan di wilayah masing-masing.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button