Dunia

12 jemaah maut penghawa dingin masjid meletup di Bangladesh

Bomba syak punca letupan daripada kebocoran gas penghawa dingin

DHAKA, 17 Muharram 1442H, Sabtu – 12 jemaah termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut selepas penghawa dingin di sebuah masjid di daerah Narayanganj, Bangladesh meletup. 

Kejadian malam Jumaat itu turut menyebabkan puluhan yang lain cedera dan melecur teruk, lapor agensi berita Xinhua. 

Jurucakap Institut Kebakaran dan Pembedahan Plastik Negara, Samanta Lal Sen berkata, 12 individu meninggal dunia ketika dihantar ke institut berkenaan berikutan melecur di badan. 

Sekurang-kurangnya 37 lagi mangsa cedera dikejarkan ke institut itu semalam, di mana sebahagiannya melecur 60 hingga 70 peratus dan sebahagian lagi kritikal. 

Pegawai bomba mengesyaki punca letupan adalah disebabkan kebocoran gas ketika jemaah selesai menunaikan solat Isyak sekitar jam 9 malam Jumaat, waktu tempatan. 

Difahamkan, semua lapan penghawa dingin di tingkat bawah masjid terbakar ketika sekitar 100 jemaah berada di tingkat tiga. 

Pegawai polis Fatullah di Narayanganj, Shafiqul Islam berkata, letupan besar itu menyebabkan kaca tingkap masjid pecah dan kipas siling, wayar serta papan suis elektrik terbakar.

Pihak bomba berjaya mengawal api dalam tempoh setengah jam. 

Punca sebenar letupan juga masih disiasat.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button