Berita Utama

Etnik Uyghur rayu bantuan cari bapa ditahan kerajaan China

Bekas Ketua Jabatan Perhutanan Xinjiang dipenjara seumur hidup atas tuduhan palsu

KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1442H, Sabtu – “Bapa saya tidak pernah melakukan sebarang jenayah, bahkan beliau menjalani kehidupan dengan melakukan pekerjaan yang berharga untuk tanah air”.

Demikian kata Subi Mamat Yuksel, anak kepada bekas Ketua Jabatan Perhutanan Xinjiang, Mamat Abdullah, 71, yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh kerajaan China atas tuduhan palsu.

Menceritakan pengalaman pahit itu, Subi berkata, pada 29 April 2017, bapanya yang ketika itu sepatutnya ke Amerika Syarikat (AS) didapati hilang.

Katanya, tiga tahun kehilangan beliau, kerajaan China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan terbabit dengan jenayah ‘pemisah’, ‘bermuka-muka’ serta penyalahgunaan kuasa.

Subi berkata, kerana kemampuan kepemimpinan yang hebat, kecekapan dan integriti, bapa beliau sering dipilih untuk bekerja dalam kerajaan.

“Sekarang, secara tiba-tiba beliau dinyatakan sebagai ‘penjenayah’ di mata Parti Komunis China (CCP), di antara jutaan Uyghur lain yang dipenjarakan dan dikurung di kem penumpuan.

“Satu-satunya jenayah beliau adalah menjadi seorang intelektual terkemuka dan lelaki Uyghur yang disegani.

“Oleh itu, CCP diancam oleh bakat, pengetahuan dan keunggulannya dalam kepemimpinan,” katanya ketika siaran langsung webinar The Uyghur Crisis in China: The Untold Stories from our Uyghur sisters, anjuran The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan the Uyghur Human Rights Project (UHRP), hari ini.

Lebih menyayat hati ibu kepada tiga orang anak itu adalah memikirkan keadaan bapa beliau yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi bahkan baharu sahaja bebas daripada kanser tahun lalu.

“Dan ia menghancurkan hati saya apabila beliau kini berada dalam bahaya yang mengancam nyawa kerana keadaan yang kejam ditambah lagi dengan penyebaran coronavirus di penjara China,” katanya.

Susulan itu, Subi merayu pertolongan segera mengesan bapanya dengan apa jua cara sekalipun serta membantu pembebasan beliau.

Orang ramai yang ingin membantu Subi menyelamatkan bapa beliau daripada penjara China boleh menandatangani petisyen http://chng.it/LRFv5d8yL6.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button