Berita Utama

4 wilayah mula terima air 12 tengah hari tadi

Tempat belum terima air Hulu Selangor, Gombak, Kuala Langat

KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna bermula pukul 12 tengah hari tadi, melibatkan empat wilayah.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri berkata empat wilayah itu melibatkan Petaling (Jalan Gasing, Sungai Buloh), Klang (Kampung Delek, Sungai Udang), Kuala Lumpur (sekitar pusat bandar) dan Kuala Selangor (Bestari Jaya).

Kawasan yang belum menerima bekalan air di empat wilayah itu dan tiga wilayah lain – Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat – pula akan menerima bekalan itu secara berperingkat bermula tengah hari ini sehingga Rabu.

Mengikut pelan pemulihan bekalan, kumpulan pertama 667 kawasan mula menerima bekalan air bermula tengah hari tadi sehingga Isnin, kumpulan kedua dari Isnin hingga Selasa (469 kawasan) dan kumpulan ketiga dari Selasa hingga Rabu (156 kawasan).

Elina berkata usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas dan Air Selangor menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya pukul 6 pagi, Rabu.

“Oleh itu, Air Selangor memohon kerjasama para pelanggan yang telah menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengguna boleh mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam untuk kemudahan pengguna yang memerlukan bekalan air semasa tempoh pemulihan bekalan air.

Air Selangor menasihatkan para pengguna supaya mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa mengambil bekalan air di PKS dan Pili Air Awam dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter ketika beratur.

Air Selangor akan mengemas kini maklumat pemulihan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Para pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button