Berita Utama

China menipu dunia selepas kewujudan ‘kem penumpuan’ terbongkar

Beijing dakwa ia sebagai pusat latihan perbaiki kehidupan etnik Uyghur

KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Nursiman Abdureshid tidak mampu lagi berdiam diri apabila dimaklumkan keluarga tersayang di China tiada di rumah – dipercayai ditahan di ‘kem penumpuan’.

Aktivis Uyghur yang berada di Istanbul, Turki itu tidak menyangka panggilan telefon yang diterima pada 18 Jun 2017 adalah terakhir daripada keluarganya.

Tidak berputus asa, beliau cuba menghubungi rakan-rakan di China untuk mengetahui keadaan keluarga di sana, bagaimanapun hampa kerana gagal mendapatkan jawapan.

“Saya terus mencuba sehinggalah pada Februari 2018, seorang rakan memberitahu saya bahawa tiada sesiapa di rumah. Ini bermakna mereka ditahan di kem penumpuan,” katanya ketika siaran langsung webinar The Uyghur Crisis in China: The Untold Stories from our Uyghur sisters, anjuran The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan the Uyghur Human Rights Project (UHRP), hari ini.

Serentak itu, Nursiman segera merujuk kepada pihak berkenaan termasuk pertubuhan hak asasi manusia bahkan Kedutaan China di Turki untuk menjawab persoalan beliau.

“Sehinggalah 15 Jun 2020, Kedutaan China memaklumkan bahawa semua ahli keluarga saya dipenjara. Bapa yang juga hero saya, Abdureshid Tohti, 54, pekerja kerajaan yang telah bersara dijatuhkan hukuman 16 tahun, 11 bulan penjara tanpa apa-apa kesalahan jenayah.

“Ibu, Tajigul Kadir, 51, turut dipenjara selama 13 tahun tanpa alasan,” katanya.

Bukan itu sahaja, abang Nursiman, Ametjan Abdurshid yang merupakan pemilik kedai alat ganti dipenjara selama tujuh tahun, manakala adik lelaki beliau, MuhamedAli Abdureshid yang memiliki dua orang anak dipenjara selama 15 tahun 11 bulan.

Nursiman berkata, selepas 2017, media di seluruh dunia bercakap mengenai ‘kem penumpuan’ yang mana kerajaan China sering menafikannya.

Katanya, China cuba mencipta penipuan lain selepas imej dari satelit serta luahan bekas tahanan kem berkenaan dengan menafikan itu bukan ‘kem penumpuan’ tetapi pusat latihan untuk menawarkan kerja kepada Uyghur kerana mereka tiada kemahiran serta sangat miskin.

“Tapi itu bukan isunya. Rakyat Uyghur sebenarnya berpendidikan. Seperti ibu bapa saya yang berusia lebih 50 tahun, sepatutnya waktu ini adalah masa untuk mereka pencen dan menikmati kehidupan lebih baik bersama cucu.

“Abang dan adik saya yang bersama-sama menguruskan kedai alat ganti dan sudah berkeluarga. Di dalam keluarga, saya serta kakak belajar di luar negara. Sebelum itu, saya mendapat pendidikan di Shanghai manakala kakak di Beijing.

“Kami semua mendapat pendidikan manakala ekonomi kami juga baik dan boleh menanggung keluarga. Oleh itu, apa yang didakwa China adalah tidak berasas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button