Berita Utama

Pengkhianatan teruk Tun M kini terdedah?

Dr Mahathir tolak Wan Azizah jadi PM Interim, mahu dirinya dilantik

BANGI, 18 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah bukti nyata bagaimana Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh peralihan kuasa sebelum ini dengan seadil-adilnya, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau berkata, Seri Paduka telah bertindak tanpa cuba memihak kepada mana-mana pihak seperti didakwa ketika zaman peralihan Pakatan Harapan (PH) kepada kerajaan baharu.

Dalam tulisan Tommy, beliau menyatakan bahawa selepas Tun Dr Mahathir Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri pada Februari tahun lalu, peruntukan Perlembagaan membolehkan timbalan beliau ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri.

Tommy berkata, Agong bertindak mengikut Perlembagaan dan mahu melantik Dr Wan Azizah sebagai pemangku Perdana Menteri atau Perdana Menteri Interim.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mencalonkan dirinya untuk jawatan sementara itu, meskipun sudah berundur sebagai Perdana Menteri.

“Menarik sekali pendedahan mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ terbitan SIRD yang mula berada di pasaran semalam.

“Paling menarik bagi saya tentulah pendedahan Tan Sri Tommy mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong di dalam tempoh peralihan kuasa, iaitu bahawa:

“… Yang di-Pertuan Agong merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kekal menjadi Perdana Menteri tetapi Tun Dr Mahathir bertegas mahu meletakkan jawatan yang menyebabkan Yang di-Pertuan Agong tiada pilihan lain selain menerima perletakan jawatan tersebut.

“Tun Dr Mahathir tegas bahawa Kabinet mesti dibubar (insisted that the Cabinet must be dismissed) ekoran perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan ini terpaksa diterima oleh Yang di-Pertuan Agong menyebabkan sejumlah 50 Menteri dan Timbalan Menteri hilang jawatan.

“Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mahu melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri Interim tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak dapat berbuat demikian kerana Tun Dr Mahathir mahukan beliau sendiri dilantik sebagai Perdana Menteri Interim tersebut,” kata Dr Kamarul memetik penulisan Tommy.

Selain itu, Dr Kamarul berkata, apa yang menarik juga adalah pendedahan Tommy yang menyatakan bahawa Dr Mahathir telah menyebut kepadanya di dalam pertemuan mereka pada 25 Februari tahun lalu, bahawa beliau mempunyai sokongan sebulat suara daripada 222 Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

Justeru, Dr Mahathir akan mempunyai kuasa penuh (‘a complete free hand’) di dalam Kerajaan Perpaduan beliau.

“Jawatan parti tidak akan diberi pertimbangan oleh Dr Mahathir untuk lantikan Kabinet Kerajaan Perpaduan. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng pula tidak akan menjadi sebahagian daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan.

“Tun Dr Mahathir terpaksa memecat Tan Sri Tommy sebagai Peguam Negara kerana ini adalah syarat UMNO dan PAS,” dakwa Tommy.

Mengulas perkara itu, Dr Kamarul berkata, buku Tommy ini adalah bukti jelas bagaimana Dr Mahathir telah mengkhianati dengan seteruk-teruknya rakan-rakan di dalam PH, khususnya Anwar, Dr Wan Azizah dan Guan Eng.

“Tidak dapat dibayangkan jika pemimpin-pemimpin seperti Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Lim Guan Eng masih sanggup bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir setelah beliau dibuktikan telah mengkhianati dengan seteruk-teruknya mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button