COVID-19: Malaysia catat 6 kes baharu
Merangkumi 2 kes penularan dalam negara, 4 import
KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Kes positif COVID-19 hari ini kembali mencatatkan satu angka dengan enam kes baharu yang merangkumi dua kes penularan dalam negara dan empat kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes penularan dalam negara itu melibatkan warga tempatan iaitu masing-masing penambahan satu kes baharu daripada Kluster Telaga dan kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) di Hospital Lahad Datu, Sabah.
Beliau berkata empat kes import pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan yang masing-masing mendapat jangkitan di Pakistan, Angola, India dan Bangladesh, melibatkan dua warga tempatan dan dua rakyat asing.
“Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,391 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 150 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Katanya, terdapat 21 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,113 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama