Berita Utama

Kemalangan ketika mabuk waktu siang wajar dipenjara lebih lama

Biasanya pemandu mabuk buat jenayah di sebelah malam

BANGI, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Individu yang didapati mabuk sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan pada waktu siang wajar dikenakan hukuman berat.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, oleh kerana perbuatan mabuk pada ketika matahari terbit merupakan sesuatu yang luar biasa, maka tidak salah sekiranya pesalah dipenjarakan dalam tempoh masa yang lama.

“Biasanya pemandu mabuk buat jenayah di sebelah malam. Namun bagi yang memandu mabuk di siang hari, layaknya mesti disumbat dalam penjara dengan tempoh yang lebih lama,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemalangan melibatkan kenderaan bertentang arus di Klang Lama.

Polis kini sedang mengesan dua individu yang terlibat dalam kemalangan yang berlaki petang semalam itu.

Menerusi rakaman yang tular, individu terbabit yang memandu sebuah kenderaan jenis Volvo telah memasuki laluan bertentangan hingga menyebabkan kenderaan yang dipandu melanggar bahagian hadapan kereta Produa Myvi berwarna hitam.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur memaklumkan, seorang pengadu telah membuat laporan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur berhubung kejadian tersebut.

Berdasarkan maklumat, pemandu Volvo tinggal di alamat di Taman Aman, Jalan Dato Lim Hoe Lek, Kuantan manakala pemilik kenderaan jenis Myvi pula tinggal di alamat Jalan Riang Taman Gembira, Jalan Kuchai Lama.

Kemalangan itu melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita berbangsa Cina.

Kelab Info Malaysia menerusi hantaran di Facebook memberitahu, pada mulanya orang ramai yang melihat insiden tersebut beranggapan bahawa pemilik kedua-dua kenderaan sedang bergaduh.

Bagaimanapun, ketika dihampiri, pemandu Volvo terbabit dipercayai berada dalam pengaruh alkohol ekoran kenderaannya berbau minuman keras.

Pemandu Volvo terbabit kemudiannya ditahan orang ramai untuk diserah kepada pihak polis tanpa ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button