Berita Utama

Krisis air: MB Selangor, Exco perlu letak jawatan

Saban tahun gagal urus masalah air hingga jejas 1.2 juta rakyat

BANGI, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Menteri Besar Selangor dan Exco digesa meletakkan jawatan atas kegagalan menguruskan krisis air di negeri ini.

Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (ANGKASA), Hazwan Mohamad berkata, jutaan rakyat Selangor mengimpikan kepimpinan negeri yang cekap dalam menguruskan air setelah tidak lagi berdaya menanggung derita dalam isu ini saban tahun.

Katanya, kegagalan demi kegagalan dalam pengurusan krisis air Selangor kini mengundang persoalan integriti dan kecekapan kerajaan negeri.

“Setiap tahun, berjuta rakyat di Selangor yang dikenali sebagai negeri maju dan kaya di Malaysia perlu menanggung beban akibat kegagalan urus tadbir kerajaan negeri yang memerintah.

“Lebih menyedihkan apa yang sedang ditanggung 1.2 juta rakyat marhaen di Selangor hari ini dan beberapa hari lagi bukanlah yang pertama.

“Laporan Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) mendedahkan negeri Selangor mencatatkan jumlah aduan masalah perkhidmatan dan gangguan bekalan air tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, kadar itu jika mengikut skala bermakna 50 peratus daripada gangguan bekalan air yang dilaporkan di negara ini berlaku di Selangor.

Lantaran itu, beliau melihat ia sebagai perkara memalukan bagi sebuah negeri yang diuar-uarkan sebagai maju dan kaya.

“Janji reformasi politik di negeri ini hanya manis ketika pilihan raya. Bekalan air yang amat penting bagi kehidupan dipolitikkan. Yang menjadi mangsa adalah rakyat marhaen.

“Dalam isu terbaharu ini, ANGKASA diberi maklum bahawa pencemaran sungai yang berlaku adalah berpunca dari sebuah kilang yang pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan yang sama juga. Ini bermakna tindakan yang sudah diambil tidak memberi kesan kepada pemilik kilang,” katanya.

Mengulas mengenai kompaun, beliau menyifatkan, ianya terlalu kecil berbanding hasil keuntungan operasi kilang tersebut.

“Insiden ini berulang namun tiada tindakan tegas. Kerajaan negeri Selangor dilihat acuh tidak acuh sahaja dalam isu air ini. Jika tidak masakan, insiden yang sama berulang kembali?

“Pengoperasian kilang di Selangor perlu pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas. Namun, kegagalan urustadbir kerajaan negeri Selangor amat mendukacitakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button