Berita UtamaDunia

Normalisasi Israel: Palestin mangsa hasrat Trump jadi Presiden semula

PLO kecam tindakan Serbia pindah kedutaan ke Baitulmaqdis

RAMALLAH, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Seorang pegawai kanan Palestin semalam mengecam keputusan Serbia memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat berkata, tindakan itu menjadikan Palestin ‘mangsa’ harapan pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Palestin telah menjadi mangsa cita-cita pilihan raya Presiden Trump, yang mana pasukannya akan mengambil apa jua tindakan, tidak kira betapa ia memusnahkan keamanan… bagi mencapai pemilihan semula pada November depan.

“Ini, sama seperti perjanjian Emiriah Arab Bersatu (UAE) – Israel (untuk menjalinkan hubungan diplomatik), bukan mengenai keamanan Timur Tengah,” katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitter.

Trump semalam berkata, Serbia dan Israel sepakat menormalkan hubungan dalam desakan terbaharu Washington kepada negara-negara di seluruh dunia supaya menjalin hubungan dengan Tel Aviv.

Pada masa sama, Kosovo juga akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Ogos lalu, Israel serta UAE bersetuju menormalkan hubungan diplomatik dalam kesepakatan yang dibantu oleh Trump. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button