PDRM diberi masa sebulan cari ‘orang penting’ sindiket judi
'Saya tidak mahu khabar angin, tetapi mahu melihat kebenaran'
KUALA LUMPUR, 17 Muharram 1442H, Sabtu – Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi masa sebulan untuk menyiasat dalang sindiket perjudian haram yang didakwa terdiri dalam kalangan ‘orang penting’.
Ini selepas terdapat dakwaan dibuat oleh orang awam bahawa, sindiket berkenaan di belakangi oleh anak menteri, selain mereka bergelar Tan Sri atau Datuk.
Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi tempoh berkenaan untuk anak buahnya mencari kebenaran.
“Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga pernah membuat pendedahan. Memang ada khabar angin bahawa orang penting termasuk ahli politik yang melindungi aktiviti judi haram.
“Saya tidak mahu mendengar khabar angin, tetapi mahu melihat kebenaran.
“Oleh itu, saya telah memberi arahan untuk melakukan siasatan dalam tempoh sebulan bagi menahan dalang yang ada, tidak kira mereka itu orang penting atau ahli politik,” katanya seperti dipetik China Press.
Beliau menegaskan, pihaknya akan menangkap kesemua mereka yang didapati bersama sama ada ‘ikan kecil’ atau ‘ikan besar’.
Katanya lagi, polis akan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah atau POCA untuk mengambil tindakan ke atas sindiket perjudian.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid membidas polis Hong Kong dan Macau kerana tidak berlaku adil terhadap polis Malaysia dalam soal penahanan Jho Low yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, walaupun wakil telah dihantar ke Beijing, Hong Kong dan Macau, tetapi usaha membawa pulang Jho Low masih tidak berjaya.