Cemar bekalan air boleh dihukum mati, penjara 20 tahun: UMNO
Berdasar peruntukan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006
BANGI, 18 Muharram 1442H, Ahad – Pencemaran bau di Sungai Selangor memberi mesej kuat bahawa undang-undang sedia ada tidak memadai dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan hak rakyat untuk menikmati akses bekalan air yang bersih untuk kegunaan harian.
Serentak itu, UMNO mendesak kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) meminda undang-undang sedia ada seperti Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 atau menggubal undang-undang baharu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan, denda dan kompaun dikenakan lebih tinggi iaitu 10 kali ganda daripada kos pembersihan pencemaran air sungai tercemar.
“Selain itu, pemilik premis atau syarikat termasuk lembaga pengarah dan pengurusan syarikat dikenakan hukuman penjara mandatori dan sebatan kerana sabotaj bekalan air negara.
“Lesen perniagaan syarikat berkaitan dibatalkan dan pemilik premis atau pemilik syarikat perniagaan termasuk lembaga pengarah dan pengurusan syarikat disenarai hitam dari menjalankan sebarang aktiviti perniagaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO memandang serius kesalahan berulang daripada pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan sumber bekalan air rakyat tercemar.
“Ini sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali memandangkan ianya kejadian kedua daripada kilang penyelenggaraan jentera berat yang sama di mana sebelum ini pemilik premis berkenaan pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan yang sama iaitu mencemarkan sungai di Selangor.
“Justeru, penahanan dan pendakwaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 430 Akta Kanun Keseksaan melibatkan pemilik premis yang disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah adalah sesuatu yang wajar,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, UMNO juga menggesa pihak berkuasa agar pemilik-pemilik premis atau syarikat serta lembaga pengarah dan pengurusan syarikat itu turut didakwa di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Akta berkenaan memperuntukkan mereka yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, katanya.
“Tambahan lagi, pemilik-pemilik premis atau syarikat serta lembaga pengarah dan pengurusan syarikat berkenaan juga perlu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan tindakan tegas perlu diambil kerana mensabotaj serta mencemarkan sungai di Selangor ini.
“UMNO sama sekali tidak akan berkompromi terhadap apa jua isu yang bukan sahaja menyahkan hak rakyat bahkan memudaratkan keselamatan rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang. Rakyat berhak untuk hidup dalam persekitaran yang bersih, sihat dan selamat!,” tegasnya.