Eksport gas Russia ke Turki turun ke tahap terendah sejak 90-an
Harga tinggi, cari pasaran alternatif antara punca penurunan
ANKARA, 18 Muharram 1442H, Ahad – Eksport gas Russia ke Turki menurun ke tahap terendah sejak tahun 1990-an ekoran harga yang tinggi dan pencarian pasaran alternatif, lapor Anadolu Agency.
Akhbar Rusia Kommersant menulis laporan dengan judul ‘Berakhirnya Pasaran Turki’, dengan jangkaan bahawa eksport gas Russia ke Turki bakal menurun hingga lapan atau sembilan bilion meter padu.
Menurut akhbar Rusia, ini adalah tahap eksport gas Russia yang paling rendah ke Turki sejak tahun 1990-an.
Akhbar tersebut menyatakan beberapa sebab untuk situasi ini, termasuk kenaikan harga gas Russia berikutan kejatuhan pesawat tempur negara itu oleh Turki, serta pembinaan dua stesen baru Turki untuk mengimport gas cair.
Di samping itu, akhbar tersebut menyatakan bahawa penemuan gas di perairan Turki di Laut Hitam dianggap sebagai tawar-menawar baharu ketika merundingkan kontrak gas yang berpotensi dengan Russia.
Agensi Anadolu melaporkan, Turki memasuki kelab global pengeluar gas ketika mengumumkan penemuan gas baru, yang dianggarkan 320 bilion meter padu di Laut Hitam dua minggu yang lalu, sambil menambah bahawa ada harapan untuk lebih banyak penemuan di Mediteranian tidak lama lagi. – Agensi