Berita Utama

Gangguan air: 811 kawasan pulih setakat 6.30 petang

Manakala baki 481 kawasan masih dalam proses pemulihan

KUALA LUMPUR, 18 Muharram 1442H, Ahad – Bekalan air di 811 kawasan atau 62.7 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 petang Ahad.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata baki 481 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Wilayah Kuala Selangor mencatat peratusan pemulihan paling tinggi iaitu 99.2 peratus, diikuti Hulu Selangor (94.1 peratus); Gombak (66.4 peratus); Petaling (66.1 peratus); Kuala Langat (50 peratus); Kuala Lumpur (41.3 peratus); dan Klang/Shah Alam (24.2 peratus).

“Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

“Air Selangor juga memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ganguan bekalan air itu bermula sejak Khamis apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Sementara itu, Air Selangor juga menafikan mesej viral melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial mengenai bekalan air yang akan ditutup semula dan catuan akan dilakukan, serta isu kualiti air yang tidak selamat di premis, yang perlu dibiarkan selama sehari sebelum boleh digunakan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button