Berita Utama

Kebun haram: MCA bincang dengan exco? Ada situasi ‘win-win’?

Rakyat mahu tahu apa rundingan MCA dengan exco kerajaan negeri

BANGI, 18 Muharram 1442H, Ahad – MCA dilihat komited membela penceroboh tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub apabila Naib Presiden yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker turun padang.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, portfolio kementerian Lian Ker tidak ada kena mengena dengan isu tanah ini tetapi ia menunjukkan betapa pentingnya isu berkenaan buat MCA.

“Ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Apa yang membimbangkan ialah perjumpaan pimpinan MCA ini ialah dengan exco negeri Pahang untuk berbincang mengenai penyelesaian ‘win-win’ dalam isu pencerobohan tanah tetapi tidak pasti apakah yang dilobi dan dituntutnya.

“Rakyat mahu tahu apa sebenarnya yang dirundingkan oleh MCA ini. Exco kerajaan negeri manakah lagi akan berjumpa dengan mereka ini selepas ini? Apakah sebenarnya tawaran yang dipersembahkan kepada kerajaan negeri, apabila beliau menyebut ‘win-win’ sebegini?,” soalnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin percaya ramai yang tidak sedar atau terlepas pandang akan apa yang sedang diusahakan oleh MCA dalam isu pencerobohan tanah di Pahang.

Ini kerana katanya, para pemimpin politik Melayu yang lantang dalam isu ini tidak akan menyebut mengenai MCA kerana itu rakan mereka.

“Apa yang penting hanyalah mileage dan publisiti parti tanpa menyedari ada musuh dalam selimut. Jujurlah kepada rakyat.

“Saya pasti MCA akan terus diberikan laluan untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu tetapi hakikatnya parti itu mesti ditolak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagaimana rakyat perlu tolak DAP,” katanya.

Difahamkan, Lian Ker bersama-sama Exco kerajaan negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram cuba mencari jalan penyelesaian berhubung penceroboh tanah kerajaan negeri Pahang

“Sementara ada pihak cuba mengeksploitasi dan memomokkan peneroka-peneroka dengan memutarbelitkan isu di luar perspektif semata-mata atas naratif perkauman, kami bersama-sama Exco tempatan Datuk Abd Aziz Kiram cuba mencari penyelesaian dengan memberi pertimbangan kepada sosio ekonomi.

“… dan perundangan melalui perspektif yang sihat, secara hemah dan positif. Syabas kepada permuafakatan!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close